PBT Selangor disaran contohi DBKL

PBT Selangor disaran contohi DBKL

Fitri Nizam

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor disaran menjadikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai contoh untuk memudahkan urusan birokrasi dalam pemilikan lesen perniagaan di negeri itu.

Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr Asmah Razalli, berkata pihaknya amat memahami undang-undang yang memperuntukkan keperluan lesen perniagaan bagi memudahkan penjaja mendapat bantuan mahu pun fasiliti jika mendaftarkan perniagaan secara sah.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri harus menyedari masalah ekonomi rakyat pasca Covid-19 di mana kebanyakan mereka sedang membina semula ekonomi yang terjejas.

“Kami memuji tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam penguatkuasaan serta-merta ke atas premis perniagaan lain yang tidak berlesen khususnya selepas isu pusat judi haram di daerah itu.

“Bagaimanapun, rata-rata penjaja jalanan terdiri golongan Bumiputera B40 dan M40 yang hanya mampu mendirikan gerai di bahu jalan sekitar Sungai Buloh mendapat tempias hebat akibat dibersihkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas tindakan penguat kuasa MBSA selepas pendedahan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid berhubung kegiatan perjudian dan rokok seludup di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Asmah berkata, PBT di bawah kerajaan Selangor perlu memandang berat isu ini seperti DBKL yang memudahkan urusan birokrasi dalam pemilikan pelesenan perniagaan.

“Kami berharap PBT di bawah kerajaan Selangor lebih serius membantu golongan penjaja yang teruk terjejas selepas Covid-19 dan memudahkan urusan mereka mencari sesuap nasi demi keluarga dalam menjana lebih banyak program ekonomi, penempatan khas penjaja serta lain-lain lagi.

“Diharapkan premis jajaan yang disita boleh diberi kemudahan tempat berniaga lebih spesifik dan terancang terutama kepada golongan yang amat terjejas ketika covid-19,” katanya.