Pelajar SMK Sri Pantai negatif Covid-19

Pelajar SMK Sri Pantai negatif Covid-19

Nilam Oshman

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kes bergejala jangkitan Covid-19 melibatkan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai, Kuala Lumpur disahkan negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian pengesahan Covid-19 ke atas pelajar itu telah diulang sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam dan keputusannya negatif.

“Tindakan proaktif saringan kontak rapat telah dijalankan ke atas 54 individu melibatkan 42 pelajar dan guru, empat ahli keluarga, lima rakan keluarga dan tiga kakitangan kesihatan.

“Semua ujian pengesahan Covid-19 untuk 54 individu ini adalah negatif,” katanya dalam sidang media khas mengenai Covid-19, hari ini.

Semalam, Dr Noor Hisham melaporkan, pihaknya masih menunggu keputusan ujian pelajar terbabit sama ada positif Covid-19 atau sebaliknya.

Namun, mangsa yang mengalami cirit-birit dan muntah pada 9 Ogos lalu disahkan positif denggi.