Pencetus Kluster Sivagangga masih dalam pemantauan, hukuman penjara belum berjalan

Pencetus Kluster Sivagangga masih dalam pemantauan, hukuman penjara belum berjalan

Hukuman penjara terhadap pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh yang didapati bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian, tidak dapat berjalan lagi.

Tertuduh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, yang dijatuhkan hukuman denda RM12,000 dan penjara lima bulan masih dalam proses pemantauan di Hospital Alor Setar.

Harian Metro melaporkan, Nezar membuat pengakuan bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa meninggalkan premis ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian apabila berada di Bank Rakyat Jitra pada 4.40 petang dan berada di Agro Bank Jitra pada 3.58 petang, 14 Julai 2020.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didapati berada di Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 3.35 petang dan berada di Public Bank Jitra pada jam 3 petang, tarikh sama.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dalam proses pertuduhan yang dilakukan di Wad I, Hospital Alor Setar.

Mohd Hadi kemudian mendapati tertuduh bersalah atas semua pertuduhan dan didenda RM3,000 dan penjara lima bulan bagi setiap kesalahan dilakukan dengan hukuman penjara berjalan serentak.