PRN Sabah: Biarkan Pejabat Daerah serah geran kepada penerima

PRN Sabah: Biarkan Pejabat Daerah serah geran kepada penerima

Parti Warisan Sabah (Warisan) sepatutnya menyerahkan kepada Pejabat Daerah untuk mengurus penyerahan geran tanah kepada penerima di setiap daerah.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak sewajarnya menyerahkan geran terbabit kerana motifnya menjadi persoalan.

Katanya, jika Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan benar-benar ikhlas, beliau sepatutnya membiarkan penerima geran tanah mendapatkannya daripada Pegawai Daerah.

Jelasnya, mengadakan majlis besar-besaran tidak wajar terutama dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda Sabah.

“Acara besar-besaran itu digunakan Mohd Shafie untuk memberikan ucapan menggembirakan sedangkan beliau sebenarnya tidak layak kerana usaha itu (pemprosesan geran tanah) sudah dimulakan kerajaan terdahulu.

“Apa yang menjadi persoalan mengapa majlis sedemikian diadakan sedangkan negeri ini masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Tindakan oleh kerajaan negeri ini sangat tidak sesuai kerana pandemik itu masih menjadi ancaman kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Kenyataan itu berkaitan jelajah majlis penyerahan geran tanah anjuran Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) di beberapa daerah yang disempurnakan Mohd Shafie sejak minggu lalu.

Jahid yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, berkata walaupun kerajaan pimpinan Warisan menafikan tindakan mereka menyampaikan geran tanah kepada penerima melanggar undang-undang, namun motifnya tetap menjadi persoalan.

“Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus meneliti sama ada lawatan Mohd Shafie ke beberapa daerah untuk menyerahkan geran tanah adalah untuk berkempen dan memancing undi,” katanya.


Kredit Foto: Facebook Shafie Apdal