Saya tak letak jawatan, tapi kerajaan PH tumbang- Tun M

Saya tak letak jawatan, tapi kerajaan PH tumbang- Tun M

Muhammad Afiq

[Parlimen]
Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) menegaskan yang beliau tidak melepas jawatan Perdana Menteri ketika menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak letak jawatan. Ahli Parlimen daripada kerajaan mungkin tidak faham Perlembagaan (negara) kita.

“Apabila parti Bersatu keluar dari PH, maka PH pun jatuh tak jadi kerajaan lagi,” katanya ketika mencelah perbahasan Datuk Hasbulllah Osman (BN-Gerik) di Dewan Rakyat hari ini.

Hasbullah membahaskan usul Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan 2020).

Sebelum itu, Hasbullah dalam perbahasan berkata, adalah tidak munasabah pihak pembangkang menuduh mereka menjatuhkan kerajaan kerana Mahathir ketika itu yang meletak jawatan

Beliau berkata, selepas Bersatu menarik diri daripada PH beliau tidak boleh lagi memegang jawatan itu kerana kerajaan yang dipimpinnya tumbang.

Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Feb di tengah-tengah kemelut politik negara apabila Bersatu pimpinan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak membawa keluar parti itu daripada PH.

Menurut Pejabat Perdana Menteri ketika itu, Mahathir menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 tengah hari tadi.

Selepas meletak jawatan Perdana Menteri beliau juga turut melepas jawatan selaku Pengerusi Bersatu.

“Jadi macam mana saya nak letak jawatan lagi, saya dah tak ada jawatan (ketika itu).

“Ini saya fikir payah nak difaham, diulang perkara ini berkali-kali macam tak boleh dengar ke tak tahulah,” kata Mahathir lagi.

Jelasnya lagi, beliau tidak berhasrat untuk meletak jawatan, namun keputusan itu diambil apabila Bersatu meninggalkan PH.

“Ini bukan bermakna saya buat keputusan sendiri nak letak jawatan. Apabila parti saya keluar dari PH, PH tak jadi kerajaan lagi dan semua ahli PH tentulah tergugur kerana tindakan itu,” tambahnya lagi.