Shakir pemain nombor 6 terbaik – Zaquan Adha

Shakir pemain nombor 6 terbaik – Zaquan Adha

Bekas pemain JDT dan Kelantan, Shakir Shaari antara pemain tengah bertahan terbaik yang pernah bermain di Liga Malaysia, kata Zaquan Adha Abd Radzak.

Pengiktirafan yang diberikan penyerang Kedah itu, menyifatkan Shakir sebagai individu yang diam-diam berisi, namun cukup efektif apabila diberikan peranan pemain nombor 6 yang bersifat pelindung kepada barisan pertahanan pasukan itu.

Katanya, Shakir yang menjadi siulan ramai penyokong Kelantan ketika bermain pada musim 2010 hingga 2013, juga seorang yang tidak mudah cemas dalam apa jua situasi, selain mempunyai teknik permainan berkualiti.

“Terus terang saya cukup suka permainan Shakir, kerana dengan adanya dia memegang peranan pemain nombor enam, saya rasa barisan pertahanan banyak dibantu oleh kekentalannya.

“Dia seorang yang tenang dan boleh dikatakan wira tidak didendang kepada pasukan, memandangkan peranan posisi sepertinya tidak banyak dilihat oleh peminat,” katanya menerusi akaun Facebook Malaysian Football League.

Pada masa sama, kata Zaquan Adha, teknik hantaran dimiliki Shakir sentiasa membuka ruang kepada rakan sepasukan dalam mencari jaringan, dan ini menambah kualiti yang ada padanya.

“Saya mengenali Shakir sejak di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) lagi dan tahu kualiti yang dia ada. Jadi, saya setuju jika ada menyatakan dia pemain tengah terbaik bagi posisinya itu pada zaman dia bermain terutama ketika mewakili Kelantan dan JDT,” katanya.

Shakir berada dalam senarai Best XI Zaquan Adha dalam formasi 4-5-1 dengan empat pemain lain di bahagian tengah ialah Safiq Rahim, Nazmi Faiz, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Bagi penjaga gol, Farizal Marlias terus menjadi pilihan, sementara barisan pertahanan dibarisi Ching Hong Aik, Khairul Anuar Baharom, Aidil Zafuan dan Rizal Ghazali, manakala penyerang pula milik bekas pemain import Negeri Sembilan, Christian Bekamenga.

Dalam pada itu, Zaquan Adha turut memberikan penghormatan kepada Hong Aik dan merasa bertuah kerana dapat bermain bersamanya pada awal pembabitan di Negeri Sembilan.

Walaupun memiliki fizikal yang kecil, Hong Aik mempunyai semangat cukup tinggi di padang dan mementingkan kecergasan sehingga masih mampu bersama Negeri Sembilan pada umur 37 tahun.

“Sukar untuk kita jumpa pemain berbangsa Cina pada waktu itu, dan dia antara yang saya rasa kagum ketika mula-mula bersama Negeri Sembilan pada musim 2005 hingga 2006, iaitu tahun yang menyaksikan kami juara Liga Super.

“Dia seorang yang pendiam, namun di atas padang, kita boleh merasakan kehadirannya kerana dia bekerja keras demi pasukan,” katanya.