Sindiket judi dalam talian China tumpas

Sindiket judi dalam talian China tumpas

Fitri Nizam

[Jenayah] Taktik sindiket judi dalam talian antarabangsa yang menjadikan sebuah kondominium mewah di ibu negara sebagai pusat operasi gagal selepas aktiviti mereka dihidu polis.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pihaknya mendapati sindiket ini menyasarkan ‘kaki judi’ dari China.

Bagaimanapun, kumpulan itu dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi bagi mengelak daripada aktiviti mereka disekat pihak berkuasa China.

“Dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Jalan Ampang tengah hari tadi, enam warga China termasuk seorang wanita diberkas.

“Hasil siasatan awal, lokasi dua unit kediaman yang diserbu adalah tempat untuk urusan ‘khidmat pelanggan’ bagi memudahkan proses pembayaran pertaruhan pasaran perjudian di China.

“Sindiket yang beroperasi sejak sebulan lalu ini memilih lokasi yang mempunyai ciri keselamatan ketat seperti pengawal keselamatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Selain kad akses untuk masuk, naik dan turun lif ke setiap unit yang disewa,” katanya selepas meninjau lokasi terbabit.

Mohd Zani berkata, sindiket itu beroperasi 24 jam dan turut menawarkan pelbagai pilihan permainan judi dalam talian seperti slot Canada28, Beijing28, FuChai28 melalui laman sesawang tertentu.

“Sindiket menggunakan transaksi kewangan melalui perbankan atas talian bank-bank di China untuk proses menerima dan membayar wang pertaruhan atau kemenangan menggunakan matawang China.

“Mereka dilaporkan mengaut keuntungan besar RM25,000 sebulan hasil kegiatan pertaruhan dan mampu membayar gaji bulanan RM3,000 hingga RM3,500 kepada pengendali warga China yang ditahan,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas empat unit komputer riba; dua unit komputer pelbagai jenama; 12 unit telefon bimbit; satu modem; satu router; 12 kad bank pelbagai jenama dan enam alat penerima sistem TAC.

Kesemua yang ditahan berusia 22 hingga 52 tahun disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969.