Sukses Sifu: Usahawan, peniaga terjejas Covid-19 digesa ambil peluang

Sukses Sifu: Usahawan, peniaga terjejas Covid-19 digesa ambil peluang

Usahawan, peniaga kecil dan orang ramai termasuk mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, berpeluang mengikuti perkongsian resipi dan tip kejayaan daripada 31 usahawan terkemuka dalam satu platform secara dalam talian.

Kesemua mereka dikumpulkan menerusi Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020 anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Asean (DPIA) yang berlangsung mulai 31 Ogos hingga 4 September.

Antara usahawan ditampilkan, Presiden DPIA, Datuk Moehamad Izat Emir; Presiden Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi; Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin; Presiden Kumpulan Mofaz, Mohamad Fauzy Abdul Hamid dan Pengasas Malakat Mall/Brainy Bunch, Fadzil Hashim.

Turut serta, selebriti berjaya seperti Pengarah Suhan Movies & Trading yang juga pemilik ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Noor; Presiden KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim serta pemilik syarikat rakaman Mixology Music, komposer dan penyanyi, Dj Fuzz.

Konvensyen itu akan disiarkan secara langsung melalui platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan lnstagram.

Timbalan Presiden 1 DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata konvensyen itu disertai 31 ‘sifu’ dalam bidang keusahawanan dari pelbagai sektor dan latar belakang.

Katanya, perkongsian daripada kesemua usahawanan berjaya itu mampu mencetus inspirasi kepada usahawan, peniaga kecil mahupun orang ramai yang terkesan akibat Covid-19 untuk bangkit semula.

“Sepanjang empat hari itu, orang ramai boleh memilih mana-mana usahawanan untuk mereka tonton melalui platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter selain portal Malaysia Post.

“Ilmu dan rahsia pencapaian yang didedahkan itu boleh dijadikan panduan bagi mereka yang sedang tercari-cari haluan kerjaya untuk masa depan.

“Kita menyasarkan 10,000 penonton dan ia 100 peratus percuma,” katanya kepada media selepas pelancaran program itu di Putrajaya hari ini.

Pelancarannya disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam menerusi persidangan video hari ini.

Pelayar dalam talian boleh melayari laman sesawang Malaysia Post dan platform media sosial yang lain dengan dengan menggunakan nama “suksessifu2020”.

Sementara itu, Moehamad Izat merakamkan penghargaan kepada semua usahawan terbabit kerana sudi menjadi speaker konvensyen berkenaan dan berharap orang ramai mengambil peluang untuk mendapatkan pelbagai ilmu.

“Ramai daripada usahawan terbabit berasal dari keluarga susah dan mereka bermula dari bawah. Orang ramai boleh ambil kesempatan ini sebagai motivasi diri dan bangkit semula selepas pandemik.

“Orang ramai juga boleh bertanya soalan kepada speaker yang terlibat. Ini antara usaha kami di DPIA untuk bantu usahawan mendapat idea baharu kerana kita tahu ramai terjejas akibat Covid-19,” katanya.