104 individu terkandas di KLIA

104 individu terkandas di KLIA

Nilam Oshman

Seramai 104 individu terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam kerana tidak dihantar ke stesen kuarantin dalam tempoh ditetapkan.

Jelas Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setelah diteliti, daripada 13 penerbangan yang mendarat di KLIA, satu pesawat tiada dalam jadual asal dengan membawa 104 penumpang.

“Penghantaran individu-individu terbabit ke stesen kuarantin tergendala seketika kerana menunggu persiapan hotel untuk menerima bilangan individu yang besar.

“Pihak urusetia telah mengambil tindakan segera untuk menghantar mereka yang terjejas dalam kumpulan kecil ke hotel-hotel lain yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pihak urus setia juga telah memastikan makanan ringan dan minuman disediakan sepanjang proses tersebut.

Menurutnya, kumpulan terakhir ditempatkan di stesen kuarantin pada jam 10 malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, polis telah menahan 203 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada jumlah itu, seramai 44 individu direman manakala 159 individu pula dikenakan kompaun,” katanya.