Acryl Sani secara rasmi dilantik Timbalan KPN

Acryl Sani secara rasmi dilantik Timbalan KPN

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik secara rasmi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib mulai hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelantikan itu mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Katanya, ia seperti termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

“Yang pertama, kita meletakkan bintang pemakaian pangkat kepada Datuk Seri Acryl Sani dan kita ucapkan tahniah dan syabas kerana Acryl Sani telah dinaikkan pangkat selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Timbalan KPN.

“Semalam kita dah dapat surat berkenan Tuanku, maka hari ini adalah hari untuk kita meletakkan pangkat tersebut kepada Acryl Sani.

“Ini majlis biasa yang kita lakukan untuk sama-sama menguar-uarkan kepada semua bahawa ini hari pertama Acryl Sani, dan dia telah pun dilantik sebagai Timbalan KPN dan saya bagi pihak kementerian mengucapkan tahniah dan syabas,” katanya.

Acryl Sani, 59 berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia pernah menyandang pelbagai jawatan penting dalam PDRM.

Antaranya Ketua Polis Perak, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT), Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).