Anwar kena main lagi, dakwa Bossku

Anwar kena main lagi, dakwa Bossku

“Saya rasa ada kemungkinan besar bahawa Nuar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah dimain sekali lagi oleh PM7 (Tun Dr Mahathir Mohamad,” dakwa Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu membangkitkan persoalan siapa individu dalam Lembaga Pengampunan yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk mengampunkan Anwar pada 16 Mei 2018, sedangkan tiada Peguam Negara dan tiada Menteri Wilayah Persekutuan pada masa itu.

“Anwar diampunkan dan dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018 iaitu kira-kira seminggu selepas PRU14 setelah Lembaga Pengampunan memberi nasihat kepada YDPA masa itu.

“Tapi masalahnya di bawah Perlembagaan Persekutuan, sebuah Lembaga Pengampunan yang sah hendaklah terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri itu (dalam kes Anwar ia Menteri Wilayah Persekutuan kerana dipenjarakan di Kuala Lumpur) dan tidak lebih tiga orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh YDPA,” katanya menerusi Facebook Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, apabila Anwar diampunkan dan dibebaskan pada 16 Mei 2018, Peguam Negara lama Tan Sri Apandi Ali telah diarah rehat dan Tommy Thomas hanya mengangkat sumpah jadi Peguam Negara pada 5 Jun 2018.

“Jawatan Menteri Wilayah Persekutuan belum lagi diisi setelah BN kalah PRU14 dan Khalid Samad hanya angkat sumpah pada 2 Julai 2018.

“Maka persoalannya ialah: siapakah dalam Lembaga Pengampunan yang memberi nasihat kepada YDP Agong untuk mengampunkan Anwar pada 16 Mei 2018 sedangkan tiada Peguam Negara dan tiada Menteri WP masa itu?

“Sebab itu peguam Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu mahkamah hari ini bahawa lembaga pengampunan telah memberi nasihat pengampunan tidak sah kepada YDP Agong dan dengan itu, pengampunan itu pun tidak sah dan dia perlu masuk balik ke dalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pelbagai perkara berlaku sepanjang pemerintahan PH.

“Bagaimanakah nasib Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemakluman di Mahkamah Tinggi KL hari ini yang diberitahu bahawa Lembaga Pengampunan telah memberikan nasihat salah kepada YDPA dalam memberikan pengampunan penuh terhadap pemenjaraan akibat kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya?

“Macam-macam hal rupanya berlaku waktu zaman PH memerintah!,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.