Covid-19: Kluster Tawar catat 11 kes baharu

Covid-19: Kluster Tawar catat 11 kes baharu

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 11 kes baharu jangkitan Covid-19 bagi Kluster Tawar iaitu 10 kes di Kedah dan satu kes di Pulau Pinang iaitu kes ke-9,149, hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes ke-9,129 daripada kluster ini yang dilaporkan semalam telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang dari sebuah pusat perubatan swasta namun kes ini kekal didaftarkan sebagai kes di Kedah.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 261 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini, 21 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, seramai 156 orang telah disaring di Kedah iaitu 20 kes dikesan positif Covid-19, 77 individu negatif dan 59 masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang 105 orang disaring iaitu satu kes dikesan positif Covid-19, 75 individu negatif dan 29 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau menambah, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster ini dan situasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.