Harap KPN maafkan Asri Janggut

Harap KPN maafkan Asri Janggut

Muhammad Mustakim Ramli

Peguam kepada Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut berharap Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berbesar hati untuk memaafkan anak guamnya.

Datuk Shaharudin Ali berkata, pengasas Hot Burger Malaysia itu mungkin menggunakan perkataan yang tidak sesuai dalam menyampaikan niat baiknya sehingga dipandang serong.

Katanya, Mohd Asri telah pun menerima surat rasmi daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang memaafkan anak guamnya.

“Saya baca surat rasmi itu dan jelas dikatakan perkara ini mungkin satu kesilapan dan kedua-dua pihak mengambil iktibar serta saling memaafkan.

“Saya bagi pihak Mohd Asri memohon jasa baik Ketua Polis Negara untuk berbesar hati melakukan perkara sama seperti Panglima ATM,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, beliau dan seorang lagi peguam, Ahmad Amzar Ahmad Azlan menemani Mohd Asri memberi keterangan kepada pihak polis.

Semalam, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM mengambil pendekatan menerima permohonan maaf Asri Janggut yang disiarkan di media sosial pada 12 Ogos lalu.

“Sebagai seorang manusia biasa, sememangnya kita tidak terkecuali melakukan kesilapan.

“Semoga apa yang berlaku dapat dijadikan sebagai satu pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau pendapat dan fakta yang boleh mencetuskan sebarang polemik,” katanya.