‘Ikon media’ antara pencapaian 100 hari Azmin

‘Ikon media’ antara pencapaian 100 hari Azmin

“Ikon media” antara salah satu pencapaian yang disenaraikan dalam tempoh 10O hari Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerajui kementerian itu.

Pencapaian itu antara yang disenaraikan dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Sebelum itu, Shu Qi di Parlimen bertanya mengenai prestasi Azmin selama dua tahun menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan 100 hari setelah mengambil alih portfolio barunya.

Selain itu, Azmin turut menjadikan pengurusan pembukaan semula ekonomi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai pencapaian 100 harinya.

Antara lain pencapaian 100 hari yang turut disenaraikan beliau ialah memimpin Miti dalam mengetuai sesi libat urus bersama industri sepanjang PKP dan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk pengukuhan Pakej Rangsangan Ekonomi, mengetuai barisan hadapan ekonomi dalam pembukaan operasi sektor-sektor, rundingan-rundingan hubungan ekonomi dua hala, serantau dan global serta menyokong transformasi syarikat tempatan ke arah pendigitalan dan penggunaan analisis data raya.

Azmin turut menyebut pencapaiannnya dalam memastikan usaha-usaha Miti bagi menyokong pemulihan ekonomi diterapkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Jawapan bertulis Azmin itu juga menyebut mengenai peranannya dalam menetapkan hala tuju dan pelaksanaan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12.

Di akhir senarai pencapaiannya itu ia menyebut: “Menjadi ikon Miti di kalangan media”.