Jangan aniaya peniaga, kata Noh Omar kepada MBSA

Jangan aniaya peniaga, kata Noh Omar kepada MBSA

Nurul Huda Abhar

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mempersoalkan kredibiliti kerajaan Selangor yang didakwa tidak bijak menyelesaikan masalah rakyat, khususnya penjaja dan peniaga di Sungai Buloh.

“Apa yang sepatutnya dibuat, langkah pertama jangan mengugut (peniaga) gerai.

“Sepatutnya program esok (perbincangan bersama peniaga) dibuat dua hari lalu, bukannya bila dah ambil tindakan, baru nak ikut prosedur yang betul,” katanya ketika ditemui media di Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.

Noh berkata demikian sebagai mengulas tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan terhadap peniaga di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Tambah Noh, peniaga di tepi jalan yang menerima notis MBSA supaya menghentikan operasi adalah mereka yang berpendapatan rendah.

“Mereka ni ibarat kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang. Mengapa isu yang ditimbulkan oleh Asri Janggut (pengasas Hot Burger Malaysia), peniaga kecil lain yang kena.

“Jadi saya minta berilah mereka ni berniaga. Kuasa di tangan kerajaan negeri dalam MBSA. Janganlah gunakan kuasa yang boleh mengganggu kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Noh berharap ada pendekatan lebih jelas daripada kerajaan negeri seperti ceramah dan penerangan tentang permohonan lesen baharu bagi peniaga.

Selain itu, katanya, penarikan lesen bagi premis yang telah diserbu polis perlu dilakukan segera bagi tidak menimbulkan kekeliruan umum.

“Rakyat kadang-kadang hairan, satu tempat itu telah diserbu, tapi minggu depan buka semula. Ini kerana lesen mereka tidak dibatalkan.

“Patut kedai seperti itu yang ditutup. Bukannya kedai-kedai di tepi jalan ni,” ujarnya.

Sejak beberapa hari lalu, MBSA menjalankan operasi dan kerja meroboh struktur binaan haram di sekitar kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.

Tindakan diambil susulan video tular mengenai aktiviti perjudian haram dan penjualan rokok seludup di kawasan terbabit yang mengakibatkan sembilan penguat kuasa MBSA ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat hari ini.

Esok MBSA akan melaksanakan Program Pemutihan Peniaga dan Penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, selama dua hari sehingga Ahad.