Kanak-kanak 4 tahun maut tertinggal dalam kereta

Kanak-kanak 4 tahun maut tertinggal dalam kereta

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta bapanya hampir 10 jam di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, semalam.

Kejadian itu hanya disedari bapa kanak-kanak itu yang berusia 30-an pada jam 6.20 petang ketika ingin pulang ke rumah dari tempat kerja.

Mangsa dipercayai ditinggalkan bapanya tanpa menyedari kanak-kanak itu sedang tidur di tempat duduk belakang kereta dalam keadaan tingkap tertutup dan enjin dimatikan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata bapa mangsa berusia 30-an sebelum itu menghantar kakak mangsa ke sekolah pada jam 7.30 pagi lalu terus ke tempat kerjanya di Bukit Makmur.

“Mangsa sepatutnya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir sebelum ke tempat kerja.

“Apabila sampai di tempat kerja, bapa mangsa keluar memandu lori sebelum pulang semula ke kilang berkenaan pada 4.30 petang.

“Ketika ingin pulang, bapa mangsa melihat anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus membuat panggilan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Adzli berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.