‘Kita adu mesin judi, MBSA rampas mesin jahit’ – Jamal Yunos

‘Kita adu mesin judi, MBSA rampas mesin jahit’ – Jamal Yunos

Nurul Huda Abhar

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mempersoalkan kewajaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas mesin jahit milik peniaga di Sungai Buloh.

Gambar rampasan mesin jahit oleh beberapa anggota penguat kuasa MBSA itu tular di media sosial semalam.

Jamal berkata tindakan MBSA terhadap peniaga dalam beberapa siri operasi sejak beberapa hari lalu, seolah-olah membalas dendam susulan pendedahan kegiatan judi dan rokok seludup di kawasan berkenaan.

“Ia umpama menikahi isteri tetapi orang lain yang mengandung,” katanya dalam sidang media di Bandar Baru Sungai Buloh sebentar tadi.

Beliau seterusnya menyatakan rasa kesal terhadap nasib menimpa peniaga kecil, apatah lagi mereka tidak dapat berniaga selama beberapa bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tiga empat bulan tak dapat cari makan sebab PKP, hari ini tak dapat niaga (susulan operasi MBSA),” katanya.

Beliau juga membawa mesin jahit yang diletakkan di atas sebuah pacuan empat roda sebagai sindirin terhadap operasi MBSA merampas mesin jahit.

“Saya nak beritahu Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) supaya beri kursus kepada Datuk Bandar dan Timbalan Datuk Bandar MBSA bagaimana rupa kedai judi.

“Ini mesin jahit, bukan mesin judi. MBSA kena tahu mana satu mesin judi dan mana satu mesin jahit.

“Kita ada mengenai mesin judi, tapi MBSA rampas mesin jahit,” katanya sambil menunjukkan mesin jahit dibawanya.

Gambar anggota penguat kuasa merampas mesin jahit yang tular di media sosial sejak semalam.