MB Selangor mahu MBSA bantu peniaga kecil tempatan

MB Selangor mahu MBSA bantu peniaga kecil tempatan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membantu peniaga kecil tempatan yang memenuhi syarat untuk mendapatkan lesen berniaga dan membanteras peniaga warga asing.

Menurut Amirudin, MBSA akan melaksanakan Program bersama Peniaga dan Penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh bermula esok.

“Kaunter Permohonan Permit Penjaja Sementara akan dibuka bagi memudahkan penjaja dan peniaga setempat mendapatkan lesen dan permit berniaga,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Khairuddin Othman; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim dan timbalannya, Mohd Rashidi Ruslan.

Amirudin berkata, program bersama peniaga itu selaras dengan dasar kerajaan negeri yang sentiasa prihatin dengan permasalahan penjaja dan peniaga kecil terutama menghadapi kesan Covid-19.

“Kerajaan negeri juga sentiasa konsisten dalam membanteras perniagaan warga asing serta premis perniagaan haram.

“Selain itu, MBSA mengulangi komitmen bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai siasatan SPRM yang sedang berjalan,” katanya.