PAS belum bincang logo untuk PRU15

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu belum membincangkan logo yang akan digunakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya parti itu dan rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN) hanya membincangkan isu agihan kerusi.

“Logo belum bincang lagi, kita mulakan dengan pembahagian kerusi dulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Rusila, hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Umno mencadangkan PAS dan Bersatu menggunakan logo BN dalam PRU akan datang.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi pada 10 selepas mempengerusikan mesyuarat pemuda BN melontarkan cadangan logo BN digunakan sebagai lambang rasmi sewaktu pilihan raya Sabah dan pilihan raya umum akan datang.

Cadangan itu, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut dipanjangkan kepada rakan parti pemerintah bukan komponen BN secara rasmi iaitu PAS dan Bersatu.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kini sudah 50 peratus selesai.

Katanya perkara itu akan dibuat secara berperingkat dan setakat ini pembahagian di beberapa negeri sudah pun selesai.

“Kita tidak ada tarikh lagi (bila akan selesai), kita tetapkan peringkat demi peringkat dan kini prosesnya sudah lebih 50 peratus.

“Calon dan kawasan belum pasti kerana kita mahu pastikan akan menang seberapa banyak kerusi,” katanya.

Abdul Hadi yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, PN juga bersedia untuk menghadapi PRU15 sekiranya ia diadakan secara mengejut pada bila-bila masa.

“Kita bersedia (hadapi PRU) bila-bila masa. Perlu mendapat mandat secara langsung daripada rakyat, sekarang ini kita dapat mandat daripada wakil rakyat.

“Ahli Parlimen pilihan rakyat telah membuat persetujuan sehingga kita mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan PN, jadi supaya kerajaan lebih teguh perlu kepada mandat secara langsung daripada rakyat,” katanya lagi.