Penerimaan rasuah sebenarnya hancur Melayu, kata Dr M

Penerimaan rasuah sebenarnya hancur Melayu, kata Dr M

Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru saja menubuhkan parti Pejuang Tanah Air hari ini berkata, penerimaan amalan rasuah sebenarnya yang akan menghancurkan orang Melayu.

Bekas Perdana Menteri berkata pada masa ini rasuah oleh penyangak, musuh dan orang asing pun boleh menentukan siapa menjadi kerajaan Malaysia.

Apabila mereka menjadi kerajaan, katanya, nasib rakyat tidak lagi akan dilindungi oleh mereka dan sudah tentu Melayu akan jadi mangsa terbesar.

“Inilah sebabnya yang orang Melayu tolak cadangan British untuk membentuk Malayan Union. Dalam Malayan Union siapa sahaja boleh jadi warganegara Malaya dan bentuk Kerajaan. Secara langsung Melayu akan dijajah.

“Dengan itu akan hilang dan hancurlah bangsa Melayu. Sekarang semangat kebangsaan sudah hilang.

“Sekarang terdapat hanya ketamakan, apa aku dapat sekarang. Apa jadi esok bukan tanggungjawab aku. Oleh itu terima sahajalah sogokan,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau.

Dr Mahathir berkata dalam sistem demokrasi, rakyat diberi hak memilih kerajaan yang tentunya membuat pilihan bijak dalam memilih wakil mereka.

Malangnya beliau berkata, kuasa memilih terdedah kepada rasuah iaitu boleh dijual dan mereka yang mampu membeli, berpeluang untuk meletak calon serta menentukan kemenangan mereka.

“Inilah sebabnya yang cogan kata “Cash is King” atau Wang itu Raja dijadikan kepercayaan Datuk Seri Najib (Razak). Dengan duit, undi rakyat boleh dibeli dan Najib boleh dirikan kerajaan sampai bila-bila.

“Kita dapat lihat kerosakan yang dilakukan olehnya. Bukan sahaja duit kerajaan diselewengkan, tetapi jentera kerajaan dapat disalahguna supaya dia bebas dari sebarang tindakan. Maka akan hilanglah pemerintahan mengikut undang-undang.

“Tetapi selepas kita berjaya guling kerajaan kleptokrat sekali lagi kita dibelenggu rasuah kerajaan,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa kini kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula membeli sokongan melalui anugerah jawatan dan wang.

“Kali ini semua mereka yang tidak sokong dilucut jawatan, digugur dari parti dan didera dengan berbagai cara. Ada yang dituduh secara sombrono, disoal berjam-jam, dimasuk dalam tahanan dan dikena reman.

“Sebaliknya yang sokong dihadiah dengan jawatan tinggi, wang dan aneka jenis kemudahan,” katanya.