Peniaga sedih, rayu MBSA beri kelonggaran, bertimbang rasa

Peniaga sedih, rayu MBSA beri kelonggaran, bertimbang rasa

Nurul Huda Abhar

Peniaga di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh yang menerima notis penutupan 24 jam, mengakui sedih kerana tidak dapat berniaga namun berharap kelonggaran diberi oleh Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Rata-rata peniaga lama tidak berniaga akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini apabila cuba ‘bernafas semula’ mereka tidak dapat beroperasi.

Daud Mohamad, peniaga kuih keria.

Peniaga, Daud Mohamad, 67, mengakui sangat terkesan dengan notis penutupan gerai itu kerana baru sahaja memulakan kembali perniagaan kuih keria miliknya selepas lama berehat akibat PKP.

Dia juga menjelaskan telah memohon lesen perniagaan dari MBSA dan sedang menunggu prosedur lanjut pihak berkaitan.

“Walaupun syarat lesen agak ketat, saya cuba melengkapkan semua keperluan kerana akur lesen itu sangat penting dan tidak mahu melanggar peraturan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika ditemui Malaysia Post hari ini.

Peniaga bunga segar, M Asogan, 66, pula berkata dia dengan rela hati menanggalkan sendiri binaan gerai bunga di tepi jalan yang diusahakan selama 12 tahun selepas mendapat notis MBSA.

Dia juga tidak menyangka pendedahan oleh pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid mengenai aktiviti judi haram dan penyeludupan rokok seludup telah mengaitkan ramai pihak.

“Saya tidak mengenali Asri dan tak faham mengapa kenyataannya telah melibatkan ramai peniaga lain termasuk saya.

“Saya tidak marah pada Asri. Niat dia mungkin mahu tujukan kepada kedai yang dia sebutkan itu. Mesti dia tidak sangka boleh jadi seperti ini,” katanya.

M Asogan, 66, menanggalkan sendiri binaan gerai bunga miliknya.

Pemilik restoren Plonxbox dan syarikat pencetakan, Nurul Aini Abd Rashid, 57, pula menyifatkan notis 24 jam yang diterima tidak wajar kerana terlalu singkat bagi peniaga untuk menutup gerai.

Menurutnya, selepas menerima notis itu, anaknya mengiklankan penjualan kontena yang dijadikan tempat makan di restoran miliknya.

“Kontena kita jual dengan potongan 40 peratus kerana perlu jual segera. Petang 11 Ogos itu kami sudah iklankan selepas dapat notis.

“Kami akur dengan notis MBSA, tetapi tiada toleransi untuk kami yang sudah menyewa lori untuk proses itu dan kontena telah disita,” katanya yang berniaga di kawasan itu selama 27 tahun.

Sejak beberapa hari lalu, MBSA menjalankan operasi dan kerja meroboh struktur binaan haram di sekitar kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.

Tindakan diambil susulan video tular mengenai aktiviti perjudian haram dan penjualan rokok seludup di kawasan terbabit yang mengakibatkan sembilan penguat kuasa MBSA ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat hari ini.

Esok MBSA akan melaksanakan Program Pemutihan Peniaga dan Penjaja di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, selama dua hari sehingga Ahad.