Penjual positif Covid-19, aktiviti jualan rokok kretek sunyi sepi

Penjual positif Covid-19, aktiviti jualan rokok kretek sunyi sepi

Aktiviti penjualan rokok kretek di sekitar terminal bas dan Pasar Ikan Tawau di Sabah, sunyi sepi susulan seorang wanita penjual rokok berkenaan disahkan positif Covid-19, kelmarin.

Ia dipercayai kerana orang ramai bimbang terdedah risiko jangkitan, selain penjual rokok kretek takut ditangkap pihak berkuasa yang meningkatkan usaha mengekang penularan Covid-19, lapor Borneo Today.

Wanita berusia 40-an itu ditahan Ahad lalu, selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika menjual rokok kretek berhampiran Pasar Ikan Tawau.

Dia kemudian dihantar ke lokap untuk siasatan lanjut dan dibawa ke Klinik Kesihatan Tawau Jenis 2, Jalan Chong Thien Vun bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran ketika dihubungi wartawan berkata wanita itu kemudian disahkan positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas turut mengesahkan pesakit Covid-19 terbaharu di Tawau adalah penjual rokok kretek yang ditahan polis.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di tempat awam.