PRN Sabah: Pengundi letak syarat tidak lompat parti kepada calon

PRN Sabah: Pengundi letak syarat tidak lompat parti kepada calon

Thaddius Unnip

Bimbang insiden lompat parti berulang, Gabungan Pengundi Muda Dewan Undangan Negeri (DUN) N2 Bengkoka, meletak syarat kepada calon bertanding di kerusi itu supaya tidak meninggalkan parti.

Jurucakap gabungan itu, Jitol Magada, dalam kenyataannya, berkata calon yang menang tidak boleh melompat untuk menyertai parti lain tanpa mendapatkan pandangan rakyat.

Katanya, ia antara ciri-ciri calon yang dikehendaki pengundi muda kawasan itu bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

“Kami, pengundi muda adalah kumpulan pengundi paling berpengaruh DUN ini. Tujuan kami mengundi adalah memilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan cemerlang membangunkan Bengkoka, memelihara kebajikan rakyat dan mempertahankan hak asasi serta maruah rakyat Bengkoka.

“Kami mengundi menggunakan minda rasional dan meneliti setiap faktor secara objektif. Kami tidak mudah terpengaruh dengan retorik politik dan kami menjunjung tinggi prinsip demokrasi,” katanya.

DUN Bengkoka yang terletak dalam Parlimen Kudat di utara Sabah adalah antara 13 kerusi baharu dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Selain tidak melompat parti, gabungan berkenaan turut menyenaraikan syarat lain kepada calon termasuk sihat tubuh badan, berakhlak terpuji serta bersih daripada rasuah dan amalan kronisme.

Calon juga disyaratkan mampu memberi perkhidmatan adil kepada rakyat Bengkoka tanpa mengira umur, jantina, kaum, agama dan fahaman politik serta memahami dan menyelesaikan masalah masyarakat di kawasan itu di dengan baik.

Jitol berkata, calon juga mesti memiliki kemahiran tinggi dalam pengurusan awam, tidak menyokong dasar parti, kerajaan negeri atau Pusat yang boleh menghakis hak rakyat Sabah, khususnya hak orang asal Sabah.

“Calon juga mesti sentiasa menyebelahi rakyat sekiranya ada konflik awam antara rakyat dengan mana-mana jabatan kerajaan, tanpa mengira sama ada dia berada dalam parti pemerintah atau pembangkang.

“Selain itu, mesti tidak membelakangkan kepentingan rakyat demi kepentingan diri sendiri dan memiliki keperibadian mesra rakyat serta mudah dihubungi apabila diperlukan,” katanya.

Syarat terakhir, katanya calon mesti berjanji sentiasa bersedia mendengar dan menimbangkan cadangan rakyat.

Isu lompat parti kembali hangat di Sabah selepas 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meninggalkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam cubaan menukar kerajaan diketuai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pada akhir bulan lalu.

Cubaan itu bagaimanapun gagal selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin meluluskan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu.