Saman RM1juta menanti pemilik Nasi Kandar Salleh

Saman RM1juta menanti pemilik Nasi Kandar Salleh

Pemilik restoran Nasi Kandar Salleh, Nezar Mohamed Sabur Batcha bakal berdepan tuntutan saman RM1 juta oleh penduduk dan pemilik kedai di Napoh.

Tuntutan saman itu difailkan bagi menuntut kerugian selepas terkesan dengan kluster PUI Sivagangga.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata tuntutan saman itu dibuat berdasarkan nasihat peguam bagi memberi pengajaran kepada semua orang supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar arahan kuarantin.

“Sehingga semalam, kami berjaya mengumpul 100 penduduk dan peniaga termasuk enam badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memfailkan saman kepada pemilik restoran Nasi Kandar Salleh.

“Dijangka hari ini akan ada lagi penduduk yang mahu berbuat demikian menerusi nasihat guaman Zunun and Co yang menawarkan perkhidmatan secara percuma,” katanya seperti dilapor BH.

Semalam, media melaporkan CAKE mengetuai NGO bersama penduduk dan peniaga pekan Napoh akan memfailkan saman bersama terhadap pemilik Restoran Salleh, yang ingkar kuarantin di rumah selepas pulang dari India.

Nezar Mohamed juga sudah dijatuhkan hukuman denda RM12,000 dan penjara lima bulan oleh mahkamah di Alor Setar, semalam selepas mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada bulan lalu.