Sub-Komander Abu Sayyaf penggal kepala warga Malaysia ditahan

Sub-Komander Abu Sayyaf penggal kepala warga Malaysia ditahan

Selepas sekian lama diburu, Sub-Komander Abu Sayyaf, Idang Susukan yang memenggal kepala rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen pada November 2015, ditahan polis Filipina semalam.

Idang atau nama sebenarnya Abdul jihad Susukan ditahan pada jam 8.30 malam di rumah pemimpin Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF), Nur Misuari di Davao City.

Idang antara 21 warga Filipina dalam senarai penjenayah dikehendaki oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Dia disyaki mendalangi beberapa siri penculikan untuk wang tebusan (KFR) di pantai timur Sabah.

Komander ESSCom​ Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan pemimpin Abu Sayyaf itu.

Hazani berkata ketika ini pihaknya sedang berusaha mendapatkan maklumat penuh penglibatan suspek dalam kejadian KFR di pantai timur Sabah, sekali gus melengkapkan kertas siasatan.

Ditanya jika suspek akan diekstradisi ke Sabah bagi tujuan siasatan, beliau berkata​ ketika ini suspek memiliki 34 waran tangkap di Filipina kerana terlibat dengan 23 kes bunuh dan lima kes culik.

“Susah mahu bawa balik, tapi kita akan cuba,” katanya.

Bernard Then, warga Malaysia yang dipenggal Abu Sayyaf pada 2015, disyaki didalangi Idang Susukan.

Bernard Then dari Sarawak, diculik di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada Mei 2015 sebelum kepalanya dipenggal ketika dalam tebusan, disyaki didalangi Idang.

Difahamkan, Idang menjadi dalang untuk penculikan Gao Huayun (China) dan Marcy Darawan (Filipina) di Singamata Reef Resort, Semporna pada April 2014; Yang Zai Lin (China) di Lahad Datu pada Mei​ 2014; Chan Sai Chun (Malaysia) di Kampung Sapang, Kunak pada Jun​ 2014.