129 individu ditahan ingkar PKP

129 individu ditahan ingkar PKP

Muhammad Mustakim Ramli

Seramai 129 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, dari jumlah itu, 20 individu direman, manakala 109 individu lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam kelab malam seramai 21 individu, gagal menyediakan peralatan/catatan keluar masuk (55) dan seorang gagal memakai sarung tangan ketika menggunting rambut pelanggan.

“Selain itu, tidak memakai pelitup muka 21 orang dan aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial 31 orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bagi kawalan sempadan negara, polis mengadakan sebanyak 66 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara, semalam.

Katanya, pihak berkuasa memeriksa sebanyak 25,368 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.