Bekas setiausaha sulit bekas menteri direman bantu kes rasuah RM3.7 juta

Bekas setiausaha sulit bekas menteri direman bantu kes rasuah RM3.7 juta

Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri bersama tunangnya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan RM3.7 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman kepada kedua-dua suspek sehingga 19 Ogos ini selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Harian Metro melaporkan sumber berkata, wang berkenaan dikaitkan dengan syarikat yang mendapat projek perkhidmatan pengiklanan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menurut sumber, suspek disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Mereka ditahan pada 5.44 petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Pada 27 Julai lalu media melaporkan, SPRM mendakwa seorang pemilik syarikat atas tiga pertuduhan dan mempunyai kaitan dengan tender pengiklanan berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengemukakan invois yang mengandungi butir matan palsu dan menggunakan dokumen palsu berhubung Tender RFP- Global Advertising Agencies and Promotion for Tourism bernilai RM89 juta bagi tempoh dua tahun.