Keputusan normalisasi hubungan Palestin-Israel hak kedaulatan UAE – Hishammuddin

Keputusan normalisasi hubungan Palestin-Israel hak kedaulatan UAE – Hishammuddin

Malaysia bertegas dengan pendirian tidak akan mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

Ini ditegaskan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan berkata, pembentukan negara berdaulat Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara merupakan jalan penyelesaian terbaik antara Israel-Palestin.

Kata beliau, berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin adalah satu-satunya penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin.

“Berhubung kenyataan bersama yang dikeluarkan Amerika Syarikat, Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 13 Ogos lalu, Malaysia berpandangan keputusan normalisasi hubungan dengan Israel adalah hak kedaulatan UAE,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Hishammuddin, pendirian Malaysia konsisten menentang pelan haram dan unilateral oleh regim Israel untuk melaksanakan rancangan pengilhakan (tindakan pentadbiran) sebahagian wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.

Sehubungan itu, Malaysia menyokong penuh rundingan yang melibatkan pihak berkaitan berdasar undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan.

“Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan,” katanya lagi.

Khamis lalu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyuarakan pendiriannya, di mana beliau menolak pengumuman mengenai perjanjian UAE yang mahu memulihkan hubungan diplomatik dengan rejim Israel.