Khaled: Bersatu jangan desak Umno sertai Perikatan Nasional (PN) pula

Khaled: Bersatu jangan desak Umno sertai Perikatan Nasional (PN) pula

Pemimpin Umno mengingatkan Bersatu agar tidak menjadikan penyertaannya ke dalam Muafakat Nasional (MN) sebagai alasan untuk mendesak parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata menjadi sebagai MN adalah berbeza dengan PN.

“PPBM (Bersatu) boleh menyertai Muafakat Nasional  walau bagaimanapun kemasukannya dalam MN janganlah digunakan pula untuk mendesak UMNO menyertai PN.

“Menjadi sebahagian dari MN sangat berbeza dengan menjadi sebahagian dari PN,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Pagi tadi Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan yang parti itu akan menyertai MN tidak lama lagi.

Dalam satu rakaman video bagi merasmikan persidangan Armada, Sri Kandi serta bahagian Bersatu, Muhyiddin berkata Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah merestui penyertaan ke dalam MN.

Pada 30 Julai lalu, Presiden Umno Datuk Seri  Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu secara rasmi memutuskan untuk tidak menyertai PN.

Ahmad Zahid berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan MN bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.

Menurutnya, sokongan kepada Kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.