Kutipan derma untuk Guan Eng hampir RM4 juta

Kutipan derma untuk Guan Eng hampir RM4 juta

Nurul Huda Abhar

Kutipan derma “Solidariti bersama Lim Guan Eng” yang bermula seminggu lalu dan berakhir tengah malam tadi, mengumpul sebanyak RM3.947 juta.

Kempen mengumpul dana itu untuk menanggung kos bayaran ikat jamin Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berdepan dengan tiga pertuduhan rasuah minggu lalu.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, ratusan ribu rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang kaum telah menyumbang dalam kempen itu.

Katanya, maklum balas itu melangkaui jangkaan dan menunjukkan rakyat amat marah terhadap penganiayaan politik daripada mereka yang berkuasa terhadap Guan Eng, sedangkan kes tersebut tidak mempunyai sebarang merit.

“Guan Eng telah menyatakan yang beliau tidak bersalah memandangkan kontrak pembinaan terowong itu dianugerahkan oleh kerajaan Pulau Pinang melalui tender terbuka antarabangsa dan kemudian dicadangkan penjawat awam kanan kerajaan negeri serta persekutuan. 

“Tambahan lagi, tidak ada satu sen pun wang yang telah dibayar untuk projek terowong ini, memandangkan ia dijadual bermula hanya selepas 2023, iaitu selepas semua syarat-syarat diluluskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pua berkata, walaupun telah mengumumkan kempen itu berjaya mengumpul RM2.9 juta setakat Selasa lalu, manakala jumlah bayaran ikat jamin ditetapkan RM1.1 juta, rakyat Malaysia terus memberikan sumbangan.

Katanya, jelas sekali rakyat menyokong bukan sahaja perjuangan untuk melawan dakwaan yang dibuat terhadap Guan Eng, malah penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Seperti dinyatakan semasa pelancaran kempen ini, dana yang dikumpul akan digunakan untuk membayar wang ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Sebarang lebihan kutipan akan digunakan untuk membiayai usaha dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi melawan kerajaan pintu belakang dan mengembalikan mandat rakyat yang mengundi untuk perubahan pada PRU 14 dua tahun lalu.

“Sekali lagi, kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyumbangkan kepada tabung ini,” katanya.

Foto : Ihsan Facebook