Muhyiddin: Saya bukan pengkhianat kepada Bersatu

Muhyiddin: Saya bukan pengkhianat kepada Bersatu

Muhammad Afiq

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak tuduhan bahawa beliau adalah mengkhianat kepada perjuangan parti itu.

Beliau berkata, tiada sebab untuk beliau mengkhianti parti politik yang diasaskannya sendiri selepas disingkirkan daripada Umno.

“Saudara-saudari, saya tidak khianat kepada parti. Saya yang tubuhkan parti ini. Jadi tidak ada sebab untuk saya khianat kepada parti yang saya sendiri tubuhkan.

“Saya yakin segala apa yang telah berlaku pasti ada hikmahnya. Jangan kita lupa, kita sekadar merancang, tetapi Tuhan lah yang menentukan,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan sayap parti itu secara dalam talian, hari ini.

Sebelum ini ketika kemelut politik yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH), bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Muhyiddin sebagai pengkhianat.

Muhyiddin telah membawa Bersatu keluar daripada PH dan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Bersama Umno, PAS, GPS dan parti dari Sabah.

Turut meninggalkan PH bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama kumpulannya untuk bersama Muhyiddin.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata beliau cukup menghormati Mahathir yang juga bekas Pengerusi Bersatu.

Jelasnya lagi, beliau tidak boleh menafikan sejarah serta sumbangan Mahathir kepada parti itu.

“Saya hormat kepada beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepada Tun Mahathir.

“Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya.

Tambah Muhyiddin lagi, pemimpin datang dan pergi, namun wadah perjuangan parti mesti diteruskan dan dipertahankan.