Operasi MBSA bukan fokus roboh gerai tanpa kebenaran – Shahrin

Operasi MBSA bukan fokus roboh gerai tanpa kebenaran – Shahrin

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelaskan operasi besar-besaran yang dilakukan penguat kuasa itu bersama beberapa agensi penguatkuasaan di Bandar Baru Sungai Buloh bukan hanya menumpukan untuk merobohkan gerai yang dibina tanpa kebenaran.

Sebaliknya, menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, operasi itu adalah untuk merobohkan struktur tambahan yang dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, ketika operasi dijalankan, sebanyak satu unit gerai, tiga kabin, lima sengkuap (awning) depan dan 16 sengkuap lorong belakang premis yang dirobohkan.

“Ingin dijelaskan, fokus MBSA dalam operasi itu bukan merobohkan gerai yang dibina tanpa kebenaran, tetapi merobohkan struktur tambahan binaan yang dibina tanpa kebenaran.

“Ketika operasi bersepadu dilakukan, MBSA juga mendapati sebanyak 16 gerai di kawasan itu dibuka pemiliknya selepas mendapat notis arahan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, dalam operasi itu, MBSA juga mengambil tindakan merobohkan struktur binaan dan tambahan pindaan dalam premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian serta menyita barangan dalam premis berkenaan.

Katanya, sebanyak tujuh premis perjudian telah disita di lokasi itu menerusi peruntukan di bawah Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memberi kuasa kepada PBT untuk menghilangkan atau menghapuskan halangan di tempat awam.

“PBT boleh menghapuskan halangan di tempat awam tanpa memberi notis,” katanya.

Sementara itu, Shahrin menjelaskan, MBSA sentiasa memberi peluang kepada orang ramai, khususnya peniaga kecil menyara kehidupan melalui penyediaan ruang perniagaan seperti kiosk, gerai, pasar malam dan sebagainya.

Mengikut rekod, terdapat 1,173 penyewa gerai, pasar, kiosk dan medan selera.

“Untuk makluman juga, sebanyak 318 permit penjaja sementara dikeluarkan MBSA untuk menampung permintaan peniaga kecil termasuk pengusaha kenderaan saji (food truck) di kawasan MBSA.

“Demi menjaga kepentingan dan kelangsungan peniaga kecil, MBSA juga mengecualikan kutipan fi lesen untuk tempoh dua bulan (April hingga Mei 2020) dengan syarat tiada tunggakan sewa sehingga Februari 2020,” katanya.