Wakil Armada di boo penyokong BN

Wakil Armada di boo penyokong BN

Wakil Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di ‘boo’ ketika berada di atas pentas pada majlis pelancaran jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak.

Insiden yang berlaku dua kali itu jelas menunjukkan penyokong Pemuda BN yang hadir tidak berpuas hati dengan sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Insiden pertama bermula apabila Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sedang memperkenalkan barisan wakil parti komponen seperti Pemuda MCA, MIC dan PAS sebelum menyebut nama Armada yang terus menerima sorakan ‘boo’.

Insiden kedua pula, sorakan sama diterima wakil Armada itu apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut nama parti itu.

Memetik laporan Malaysia Gazette, salah seorang wakil Armada yang berada di atas pentas itu adalah Ketua Armada Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.

Beliau yang ditemui selepas majlis itu berkata, pihaknya tidak mengambil hati dan berlapang dada dengan insiden itu.

Katanya, sebagai orang muda, beliau sedar dengan insiden yang berlaku.

Malah, tegasnya, Armada komited dan berjanji akan membantu calon BN, Mohd Zaidi Aziz secara tidak berbelah bahagi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

“Ini semua ketentuan Allah apabila sebelum ini Bersatu bertanding pada PRU14 menggunakan lambang PKR untuk menentang Umno dan PAS.

“Namun, kami yakin calon BN akan mendapat jumlah undi majoriti yang lebih dari direkodkan pada PRU14,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang diminta mengulas mengenai insiden itu berkata, dia mengambil sikap bersangka baik dengan apa yang berlaku.