Wakil Cuepacs perlu terlibat dalam jawatankuasa khas – Adnan

Wakil Cuepacs perlu terlibat dalam jawatankuasa khas – Adnan

Pembentukan jawatankuasa atau pasukan petugas khas untuk mengubahsuai sistem penyampaian perkhidmatan awam negara bagi membantu pemulihan ekonomi adalah langkah tepat dalam menghadapi era pasca Covid-19.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat mencadangkan, agar organisasinya dilibatkan secara bersama dalam pembentukan jawatankuasa khas itu bagi membolehkan pandangan secara menyeluruh dari semua penjawat awam diambil kira.

Ujar beliau, penglibatan Cuepacs dan wakil pekerja dalam jawatankuasa khas itu membolehkan setiap langkah penambahbaikan dibentuk dari mereka yang sememangnya pakar serta mewakili pihak yang akan melaksanakannya.

“Kita tidak mahu langkah penambahbaikan ini jika dilaksanakan pada masa akan datang sebenarnya tidak memacu sistem perkhidmatan awam bergerak ke hadapan akibat kesilapan pada peringkat awal pembentukan jawatankuasa khas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Adnan, kerajaan perlu memastikan setiap penambahbaikan yang dilaksanakan tidak meminggirkan kebajikan penjawat awam. 

“Setiap dasar atau cadangan yang bertujuan menambahbaik sistem perkhidnatan awam perlu dilaksanakan dan ditunaikan sekiranya telah diumumkan,” kata beliau. 

Sehubungan itu, Cuepacs menyeru penjawat awam sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan perubahan norma baharu dalam kehidupan ketika ini. 

Penjawat awam, ujarnya, perlu terus melihat ke hadapan, mengurangkan kerenah birokrasi serta bekerja dengan lebih baik agar dapat menjayakan hasrat kerajaan memulihkan ekonomi negara lebih pantas.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan pembentukan jawatankuasa atau pasukan petugas khas untuk mengubahsuai sistem penyampaian perkhidmatan awam negara bagi membantu pemulihan ekonomi dengan lebih pantas.

Perdana Menteri berkata, langkah itu penting supaya pemulihan semula ekonomi negara yang terjejas teruk berikutan wabak Covid-19 tidak terbantut dengan kerenah birokrasi yang tidak perlu.