Yang dijual aset sakit, kata Mujahid

Yang dijual aset sakit, kata Mujahid

Penjualan aset-aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) yang ditakrifkan sebagai aset sakit bertujuan menyelamatkan institusi itu daripada menanggung beban kewangan dan liabiliti pada masa depan.

Perkara itu dinyatakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai penjualan aset-aset TH ketika di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Yang saya maksudkan kita pindahkan harta yang sakit, benda sakit kalau masih pegang ia akan membebankan kita (TH).

“Untuk menghindari tanggungan yang membebankan, maka kita pindahkan aset sakit, kalau tak ia bagi kesan pada aset baik lain.

“Kita (kerajaan PH terdahulu) kenal pasti aset tak elok iaitu 29 hartanah, 106 saham dan satu ladang yang tak menguntungkan,” katanya dalam program Berani Semuka: Mujahid vs Azeez anjuran Sinar Harian di Shah Alam malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai penjualan aset-aset TH kepada pelbagai pihak, termasuk bukan Islam sepanjang 22 bulan memerintah.

Menjelaskannya, Mujahid berkata semua aset berkenaan terpaksa dijual selepas melihat kadar pulangan pelaburannya terlalu rendah serta tidak menguntungkan.

“Semua hotel-hotel (milik TH) ini kadar pulangan secara purata hanyalah 1.7 peratus, manakala kadar biasa yang sepatutnya adalah 3.5 hingga 4 peratus.

“Jadi kita pindah (milik) empat hotel itu dan mendapat untung kepada TH sebanyak RM160 juta,” katanya.

Berikutan itu, beliau menegaskan tuduhan kononnya TH menjual perabot hotel dengan harga cuma RM10,000 adalah fitnah sedangkan ia telahpun meraih keuntungan sehingga RM160 juta.

“Ini antara usaha kita nak pulihkan TH, harap jangan lagi ulang fitnah ini kerana ia akan menjejaskan imej TH,” katanya.