Bayi 10 bulan maut akibat pendarahan di kepala

Bayi 10 bulan maut akibat pendarahan di kepala

Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan meninggal dunia akibat pendarahan di kepala Jumaat lalu, selepas empat hari dirawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Bayi berkenaan dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuhnya di Bandar Puchong Jaya, Serdang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata mangsa dikejarkan ke hospital selepas ibu bapanya dihubungi pengasuh, memaklumkan bayi tersebut tidak sedarkan diri kira-kira jam 12 tengah hari Selasa lalu.

Katanya, pemeriksaan awal doktor mendapati bayi berkenaan mengalami pendarahan di bahagian kepala dan mengesyaki ada unsur penderaan.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa disahkan kematian otak dan bergantung pada mesin bantuan pernafasan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.19 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor Bernama semalam.

Tambah Ismadi, bedah siasat dijalankan di Hospital Serdang pada jam 1.40 tengah hari semalam dan didapati punca kematian terdapat pendarahan di kepala mangsa kesan jatuh dari tempat tinggi.

Siasatan lanjut mendapati mangsa pernah terjatuh dua kali, iaitu di rumah sendiri dan kediaman pengasuh, namun tiada unsur penderaan berlaku.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.