Belum ada rundingan dengan Azmin bagi kerusi Gombak

Belum ada rundingan dengan Azmin bagi kerusi Gombak

Nurul Huda Abhar

Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Gombak serta Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu perlu mendapat persetujuan kepimpinan Muafakat Nasional (MN) asal, iaitu Umno dan Pas

Perkara itu dinyatakan Ketua Umno Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin sambil menegaskan tidak bersetuju dengan tindakan lompat parti beberapa ahli politik kini.

“Kita ada pendirian dan prinsip kita. Sebagaimana kita tak suka bila kalah semasa PRU14. Kita sedih bila Ahli Parlimen kita yang melompat (ke parti lain).

“Begitu juga perasaan kita bila orang lain lompat daripada parti mereka. Jadi tak adil kita nak terima dan meraikan semua ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, keputusan tersebut juga mewakili kepimpinan PAS Gombak dan perbincangan akan dibuat melalui kesepakatan MN manakala keputusan yang dicapai juga akan melalui suara kepimpinan tersebut.

Semalam, kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan menyertai Bersatu yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu depan.

Perkara itu disahkan bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tambah Megat Zulkarnain, sehingga kini tiada rundingan dibuat bersama Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan beliau berpendapat tidak keperluan untuk membuat sesi perjumpaan bersama.

Beliau mendakwa permintaan berbincang daripada pihak Mohamed Azmin hanya akan meninbulkan perbezaan pendapat antara dua pihak, seperti yang berlaku pada PRU14 lepas.

“Saya dan Umno Gombak masih ingat, kenyataan yang dia buat menjelang PRU14. Kita masih ingat. Saya fikir dia mungkin ada sokongan daripada orang lain. Jadi MN, kita ada prinsip dan pendirian kita tersendiri,” ujarnya.