Covid-19: Kluster Tawar catat enam kes baharu

Covid-19: Kluster Tawar catat enam kes baharu

Fitri Nizam

Sebanyak enam kes baharu positif Covid-19 membabitkan kluster Tawar dicatatkan di Kedah dan Pulau Pinang hari ini.

Penambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif bagi kluster berkenaan kepada 39 orang setakat jam 12 tengah hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan lima daripada kes terbabit dikesan di Kedah manakala satu lagi dicatatkan di Pulau Pinang.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 899 orang sudah disaring dalam kluster ini.

“Di Kedah seramai 727 orang disaring namun hanya 35 disahkan positif manakala 49 lagi masih menunggu keputusan.

“Pulau Pinang 164 orang disaring empat positif dan lima lagi masih menunggu keputusan manakala di Perak seramai lapan individu disaring lima negatif sementara tiga lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

KKM berkata, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih lagi diteruskan bagi kluster ini dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.