Gagal patuh SOP, Taman Awam Vision diarah tutup tujuh hari

Gagal patuh SOP, Taman Awam Vision diarah tutup tujuh hari

[Covid-19] Gara-gara gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Taman Awam Vision, Kepala Batas, Pulau Pinang telah diarahkan tutup selama tujuh hari.

Tindakan tersebut diambil ketika Operasi Bersepadu dijalankan polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bermula jam 5 petang selepas menerima maklumat kehadiran orang ramai di taman tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dalam satu kenyataan semalam berkata, KKM mengeluarkan notis arahan penutupan itu kerana pengurusannya tidak mengawal jumlah pengunjung yang hadir.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun masing-masing RM1,000 terhadap dua peniaga yang berniaga di kawasan taman itu kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan termasuk tiada penjarakan fizikal dalam kalangan pelanggan mereka.

“Polis akan meneruskan operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19,” katanya seperti dilapor Bernama, semalam.