Keputusan Bersatu untuk bersama MN membentuk kekuatan ‘Melayu raya’

Keputusan Bersatu untuk bersama MN membentuk kekuatan ‘Melayu raya’

Muhammad Afiq

PAS menyokong penuh keputusan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) bagi membentuk satu gagasan “Melayu raya” sekali gus menerajui Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata penyertaan Bersatu akan memantapkan lagi MN yang digagaskan atas dasar kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan Bumiputera.

Malah katanya MN juga tidak meninggirkan kepentingan nasional secara umumnya.

“PAS juga yakin gandingan parti-parti Umno, PAS dan Bersatu bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar ‘Melayu raya’ dan sekali gus memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Kerjasama yang digagaskan atas asas muafakat, persefahaman serta perpaduan ini pasti akan mewujudkan iklim yang harmoni, kondusif dan
berwibawa ke arah membangunkan seluruh sektor masyarakat dan wilayah demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Semalam, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan yang parti itu telah mendapat restu Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi menyertai MN.

Berucap melalui rakaman video sempena perasmian persidangan seretak Armada, Sri Kandi dan bahagian Bersatu, Muhyiddin berkata penyertaan ke dalam MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata beliau percaya bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk Bersatu.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata gabungan presiden ke tiga-tiga parti dalam MN akan memantapkan lagi PN.

“PAS meyakini gabungan bersepadu kepimpinan MN yang akan diterajui oleh Presiden Umno, PAS dan Bersatu merupakan gandingan terbaik untuk menerajui kerajaan PN,” kata Takiyuddin lagi.