Malaysia perlu satu lagi rangsangan ekonomi, kata Guan Eng

Malaysia perlu satu lagi rangsangan ekonomi, kata Guan Eng

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa data ekonomi menunjukkan dengan jelas kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kadar kemelesetan ekonomi negara.

Jelasnya, data Bank Negara Malaysia menunjukkan perbelanjaan mengurus suku kedua kerajaan menurun 2.1% daripada tahun lalu, berbanding kenaikan 5.2% pada suku pertama.

“Sekiranya kerajaan bertindak lebih pantas, negara mungkin akan mengalami kemelesetan yang lebih rendah.

“Kadar pengangguran 4.9% pada bulan Jun menyembunyikan fakta bahawa terdapat banyak golongan profesional seperti juruterbang yang melakukan pekerjaan selain menerbangkan pesawat.

”Secara mudah, mereka boleh dikatakan bekerja di bawah potensi mereka atau ‘guna tenaga tidak penuh’. Di sini, kerajaan harus sedar bahawa kualiti pekerjaan adalah sama pentingnya dengan jumlah pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Guan Eng lagi, itu belum mengambil kira mengenai pemotongan gaji yang dialami oleh pekerja Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan April, 84% daripada pekerja sektor swasta terkesan dengan pemotongan gaji.

”BNM juga melaporkan pada suku tahun kedua, gaji swasta turun sebanyak 5.6% berbanding tahun lalu setelah meningkat 2.1% pada suku tahun pertama 2020.

“Dengan kemelesetan ekonomi, harga barangan akan jatuh, selari dengan Indeks Harga Pengguna bulan Jun yang menurun sebanyak 1.9% tahun ke tahun setelah menurun sebanyak 2.9% pada bulan Mei.

“Pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah dan harga barangan yang lebih rendah adalah berita buruk untuk ekonomi,” katanya lagi.

Tambahnya, penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua iaitu 17.1%, terburuk dalam sejarah memerlukan satu lagi pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM45 bilion bagi memerangi kemelesetan ekonomi Covid-19.

Kerajaan harus melaksanakan satu lagi pusingan langkah-langkah kewangan pasca Covid-19 seperti suntikan dana berjumlah RM45 bilion yang dilakukan pada awal bulan April.