Penggabungan Bersatu, Umno cita-cita orang Melayu, Islam

Penggabungan Bersatu, Umno cita-cita orang Melayu, Islam

Fitri Nizam

Tidak mustahil Umno dan Bersatu akan bergabung suatu hari nanti, jika kedua-dua parti secara jelas dan tegas sedia mengutamakan perjuangkan agama, bangsa dan negara dengan mengetepikan kepentingan masing-masing.

Pandangan itu dilontarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid yang yakin itulah juga harapan dan cita-cita orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Saya yakin mereka (orang Melayu dan Islam) mendoakan Umno dan Bersatu bergabung suatu hari nanti dan saya yakin tak mustahil ia akan berlaku, Insya-Allah,” katanya kepada Malaysia Post.

Rosol, bekas Setiausaha Umno Terengganu namun kini bersama Bersatu berkata, pandangan beberapa pemimpin berhubung penggabungan kedua-dua parti sebelum ini adalah kerana mahu melihat perpaduan, kesepakatan dan kesatuan orang Melayu.

“Tetapi apa yang penting, bangsa dan agama tetap diutamakan. Jadi jika itu berlaku, maka isu Umno di depan ke, Bersatu di depan ke, itu sudah jadi perkara nombor dua.

“Apa yang penting bagi saya, akur apa sahaja arahan pemimpin,” katanya.

Rosol keluar Umno pada Disember 2018 sebelum menyertai Bersatu.

Beliau berkata banyak persamaan antara Umno dan parti itu, antaranya Bersatu ditubuhkan mengikut acuan Umno menerusi perlembagaan parti dan beberapa perkara asas lain.

Bagaimanapun, katanya, Bersatu tertubuh ketika isu 1MDB sedang memuncak dan masyarakat serta rakyat menerima hakikat bahawa skandal itu satu masalah besar negara yang pernah berlaku.

“Oleh demikian, ketika itu tertubuhlah Bersatu untuk memastikan negara tidak lagi ditadbir dan diurus oleh pihak yang didakwa terbabit dalam isu itu. Justeru, kerana isu 1MDB lah Umno runtuh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya tak nampak isu lain yang menjatuhkan Umno selain 1MDB. Maka atas asas tersebut tertubuhnya Bersatu,” katanya.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, walaupun pada dasarnya perjuangan demi agama, bangsa dan negara, kedua-dua parti itu sama namun pembawaan Bersatu lebih bersih dan telus.


Kredit Foto: Facebook Rosol Wahid