PRN Sabah: Umno Sabah tuntut Dasar Satu Negara, Satu Harga

PRN Sabah: Umno Sabah tuntut Dasar Satu Negara, Satu Harga

Thaddius Unnip

Umno Sabah akan memasukkan tuntutan ‘Dasar Satu Negara, Satu Harga’ dalam manifesto parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata dasar itu perlu dilaksanakan bagi menamatkan diskriminasi ekonomi yang ditanggung rakyat Sabah selama ini.

Katanya, adalah tidak adil jika rakyat Sabah terpaksa menanggung harga barangan yang jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung dengan alasan kos pengangkutan.

Jelasnya, kalau kos pengangkutan dijadikan alasan, mengapa sesuatu barangan dijual sama harga di semua negeri di Semenanjung, namun lebih mahal di Sabah.

“Rakyat Sabah selalu tertanya kenapa kebanyakan harga barangan di negeri ini lebih tinggi daripada Semenanjung?

“Alasan yang selalu diberikan ialah kerana kos penghantaran dari Semenanjung (lokasi asal kebanyakan barangan dibuat atau diimport) ke Sabah mahal. Kata mereka, kos penghantaran yang tinggi itulah menjadi faktor utama kenapa harga barangan di Sabah tinggi berbanding Semenanjung.

“Sebagai seorang lulusan bidang ekonomi, saya bersetuju dari segi teori ekonomi, alasan itu munasabah. Kalau kos tinggi, maka harga jualan juga tinggi.

“Yang peliknya, teori ekonomi ini langsung tidak terpakai di Semenanjung.

“Semua negeri di Semenanjung mempunyai harga sama kerana kebanyakan perusahaan dan perniagaan di sana mempunyai dua senarai harga iaitu harga Semenanjung dan harga Sabah dan Sarawak yang lebih mahal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Tuaran memberi contoh harga kereta Proton Saga di Kelantan dan Selangor adalah sama walaupun penghantaran kereta itu dari kilangnya di Selangor ke Kelantan juga memerlukan kos pengangkutan.

“Persoalannya kenapa harga Proton Saga di Kelantan sama dengan harga Proton Saga di Selangor? Dan kenapa pula harga Proton Saga di Sabah lebih mahal dari Proton Saga di Selangor? Jawapannya mudah. Ini diskriminasi ekonomi.

“Kenapa perlu membeza-bezakan wilayah di Malaysia ini? Kalau harga di negeri-negeri Semenanjung tidak dibezakan walaupun ada kos pengangkutan, harga di Sabah dan Sarawak juga tidak patut dibezakan. 

“Pada saya kalau pun ada negeri yang patut diberikan keutamaan harga rendah, Sabah dan Sarawak jauh lebih layak.

“Sudahlah penduduk di Sabah dan Sarawak lebih miskin berbanding penduduk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pula adalah penyumbang utama pendapatan minyak negara,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Umno Sabah mahu satu dasar baharu ‘Satu Negara, Satu Harga’ dilaksanakan di Malaysia supaya tidak wujud diskriminasi ekonomi. 

Jelasnya, kalau dasar itu memerlukan penggubalan undang-undang atau peraturan baharu bagi memastikan semua  pengilang mematuhinya, Umno Sabah mendesak agar undang-undang atau peraturan baharu digubal segera.

Perkara itu katanya, sudah dibincangkan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dimasukkan dalam autonomi Sabah yang dicadangkan sebelum ini dan beliau memahami aspirasi rakyat Sabah.