Sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula esok

Sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula esok

[Covid-19] Sempadan negara Malaysia- Singapura akan dibuka semula esok selepas ditutup beberapa bulan akibat penularan wabak Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu telah diperhalusi oleh pihak berkuasa antara Malaysia dan Singapura sebelum keputusan itu dicapai.

“Pembukaan itu melibatkan kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

“Apa yang dibincangkan akan bermula esok, apa kategori dan berapa jumlah yang dibenarkan juga telah ditetapkan.

“Bila sesuatu keputusan dibuat sudah tentu ia melibatkan pelarasan daripada semua agensi kerajaan. Tidak timbul masalah berhubung perkara itu,” katanya dalam sidang media di Pasir Gudang, hari ini.

Ka Siong berkata demikian selepas menyempurnakan upacara pembukaan rasmi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Grisek, hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Jelasnya, kerajaan telah bersiap siaga sepenuhnya menjelang pembukaan fasa pertama sempadan itu esok.

Malaysia menutup pintu sempadan negara dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Kerajaan mengambil keputusan melaksanakan PKP bagi memutuskan penularan wabak Covid-19.

Malaysia kini berada dalam fasa PKP pemulihan daripada wabak Covid-19.

Dalam pada itu Ka Siong memaklumkan pembukaan sempadan secara berperingkat itu dijangka akan memberi kesan positif kepada sektor ekonomi terlibat, khususnya pengangkutan awam.