Syed Saddiq harap penggantinya kemudi Armada dengan baik

Syed Saddiq harap penggantinya kemudi Armada dengan baik

Bekas Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul menitipkan nasihat kepada pimpinan Armada yang baharu supaya bertanggungjawab dan amanah dengan jawatan dimenangi.

Beliau turut meminta agar Ketua Armada yang baharu Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad menjalankan tugas baru dengan cermat

“Gunakan peluang yang ada untuk mengemudi Armada dengan baik. 

“Tahniah juga buat saudara Muzzamil Ismail dan Ashraf Mustaqim. Sumbangan anda wajar diteruskan untuk Armada.

“Walaupun saya tidak lagi bersama-sama keluarga Armada, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian semua,” tulisnya dalam satu ciapan di Twitternya, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dipilih sebagai Ketua Armada Bersatu yang baharu dalam pemilihan parti itu semalam.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Tan Sri Syed Hamid Syed Albar dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun jawatankuasa itu tidak memaklumkan jumlah undi yang diperoleh Wan Ahmad Fayhsal memenangi jawatan itu.

Manakala jawatan Timbalan Ketua Pemuda Armada dimenangi Ceasar Mandela Malakun.