Tan Sri Abdul Rahman Arshad meninggal dunia

Tan Sri Abdul Rahman Arshad meninggal dunia

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Rahman Arshad dilaporkan meninggal dunia, awal pagi tadi.

Perkara itu dikongsikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ciapan di Twitter beliau sebentar tadi.

Allahyarham, 84, menjalani pembedahan di kepala kerana ketumbuhan pada Jun lalu.

“Hari yang amat sedih bagi saya tatkala guru saya dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Rahman Arshad telah kembali menemui Ilahi awal pagi tadi.

“Saya berkesempatan mengunjungi beliau beberapa minggu yang lalu. Mendoakan kekuatan dan kecekalan buat keluarga saat ditimpa ujian ini.

“Semoga Allah mencucuri roh arwah dengan rahmah dan maghfirahNya,” kata Anwar.

Allahyarham berkhidmat dalam bidang pendidikan selama lebih 30 tahun bermula sebagai guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum dilantik Timbalan Pengarah Pendidikan di Pulau Pinang dan Kedah; dan kemudian Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan.

Beliau kemudian berpindah ke Kementerian Pendidikan sebagai Pengarah Peperiksaan sebelum menjadi Pengarah Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Timbalan Ketua Pengarah I dan akhirnya Ketua Pengarah Pendidikan sebelum bersara pada akhir November 1991.

Allahyarham memikul banyak lagi tanggungjawab lain, antaranya sebagai Canselor University College of Sedaya International  (UCSI) dan Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Abdul Rahman juga pernah menjadi diplomat di Maghribi, Manila dan Thailand.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Bank Industri, Exim Bank dan Malaysian Export Credit Insurance Bhd.

Beliau pernah diberikan kepercayaan sebagai pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2014-2016.