UAE pengkhianat dunia Islam

UAE pengkhianat dunia Islam

Ir Khairil Nizam Khirudin

[Sudut Pandang] Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya dan mengecam perjanjian damai dua hala antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan rejim Israel yang baru sahaja dimeterai minggu ini.

Pemuda PAS menyifatkan tindakan UAE sebagai satu pengkhianatan kepada umat Islam terutamanya rakyat Palestin, serta dunia Islam.

Suatu penghinaan besar buat UAE apabila sanggup bersama dengan musuh Islam yang giat menyembelih saudara seagama mereka.

Tidak terjangkau oleh akal fikiran yang sihat bagaimana sebuah negara seperti UAE yang dipimpin oleh seorang pemimpin beragama Islam, serta majoriti penduduknya beragama Islam sanggup berjabat tangan dengan pemimpin rejim Israel dan Zionist, yang dikotori darah dan air mata rakyat Palestin.

Apakah UAE tidak sensitif dengan nasib saudara seagama yang sejak sekian lama dizalimi, ditindas dan dinafikan hak mereka oleh musuh Islam ini?

Pengkhianatan UAE ini harus ditentang oleh semua negara dunia Islam, termasuk Malaysia. Maka Pemuda PAS menuntut kerajaan Malaysia mengecam tindakan UAE, serta memanggil pulang Duta Malaysia di UAE sebagai bantahan kepada pengkhianatan ini.

Pemuda PAS akan terus bersolidariti bersama saudara seagama kami di Palestin dan dunia Arab yang ditindas dan dizalimi oleh rejim Zionist Israel. Segala bentuk hubungan dan perjanjian damai bersama Israel adalah suatu pengkhianatan, dan harus ditolak oleh umat Islam.

Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Artikel ini disiarkan tanpa suntingan. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysia Post.