Virus mutasi D614G dikesan dalam negara – Dr Noor Hisham

Virus mutasi D614G dikesan dalam negara – Dr Noor Hisham

[Covid-19] Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan mutasi jenis D614G hasil ujian pengasingan dan kultur terhadap tiga kes daripada Kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga dan satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini telah terbukti dikesan di Malaysia.

Menurutnya, mutasi tersebut didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu super spreader.

“Ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati.
Setakat ini kedua-dua kluster ini didapati agak terkawal hasil tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas.

“Ujian awal ini dan beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes yang lain, termasuk bagi kes indeks bagi kedua-dua kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar kekal mengamalkan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan pihak KKM bagi membendung penularan Covid-19.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan keperluan menjaga penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat.

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar dapat kita sama-sama memutuskan penularan jangkitan COVID-19 daripada segala jenis mutasi sekalipun,” ujarnya.