Wan Ahmad Fayhsal dipilih Ketua Armada Bersatu

Wan Ahmad Fayhsal dipilih Ketua Armada Bersatu

Aiman Hanif

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dipilih sebagai Ketua Armada Bersatu yang baharu mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas penyandang jawatan itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Tan Sri Syed Hamid Syed Albar dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun jawatankuasa itu tidak memaklumkan jumlah undi yang diperoleh Wan Ahmad Fayhsal memenangi jawatan itu.

Manakala jawatan Timbalan Ketua Pemuda Armada dimenangi Ceasar Mandela Malakun.

“Buat julung-julung kalinya Armada bahagian-bahagian di seluruh negara telah serentak mengadakan persidangan tahunan masing-masing.

“Seramai 9,496 orang perwakilan telah membuang undi semasa persidangan bahagian-bahagian armada tersebut.

“Daripada 173 bahagian Armada yang layak bersidang hari ini, 164 bahagian telah berjaya mengadakan persidangan manakala sembilan bahagian gagal bersidang kerana ketiadaan korum,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Sebelum ini, turut menawarkan diri bagi merebut jawatan Ketua Armada ialah Exconya iaitu Mohd Muzzammil Ismail.

Mohd Muzzammil mengumumkan hasratnya menetang jawatan yang disandang Syed Saddiq itu terlebih dulu sebelum Wan Ahmad Fayhsal.

Beliau meneruskan hasrat untuk bertanding jawatan itu meskipun terdapat rundingan antaranya dengan Wan Ahmad Fayhsal.

Syed Saddiq disingkirkan daripada Bersatu selepas beliau membuat keputusan menyertai kumpulan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.