Annuar pertahan kedudukan Azmin di Gombak

Annuar pertahan kedudukan Azmin di Gombak

Aiman Hanif

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mempertahankan kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak meskipun pemimpin Umno bahagian itu mahu Muafakat Nasional (MN) tentukan siapa yang bakal bertanding di situ nanti.

Beliau menegaskan BN sebagai parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), MN akan membantu antara satu sama lain pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ia bagi membolehkan PN mempertahankan 119 kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu.

“Parti- parti dalam PN, MN dan BN akan membantu satu sama lain mempertahankan 114+5 kerusi yang kita menangi PRU14 dan menggembleng tenaga untuk tawan kerusi-kerusi yang ada pada PH (Pakatan Harapan), insya-Allah,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

Sebelum ini Ketua Umno Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilaporkan berkata mana-mana calon di Gombak sama ada untuk kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mendapat persetujuan Muafakat Nasional.

Megat Zulkarnain berkata keputusan itu telah dicapai antara Umno dan PAS.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada sebarang perbincangan antara Umno, PAS dan Azmin berhubung kerusi berkenaan.

Dalam satu hantaran berasingan Annuar berkata, soal calon dalam gabungan berkenaan perlu dirujuk kepada peraturan dan dasar parti.

“Hal calon sudah ada peraturan dan dasar dalam parti. Sebarang pemberitaan elok rujuk pucuk pimpinan yg berautoriti.

“Jika tidak, ia hanya pandangan peribadi,” jelas Annuar.